Wednesday, August 4, 2010

EKSPEDISI BERAKIT SUNGAI PERAK

Hari pertama sampai

Seumur hidup saya belum pernah berakit dan berkayak. Walaubagaimanapun peluang tersebut datang apabila MAKSAK Malaysia bercadang untuk menganjurkan program MAKSAK turun padang iaitu berakit Sungai Perak.

Pada awalnya bos mengarahkan agar saya mencari peserta seramai 10 orang terdiri dari 5 orang lelaki dan 5 orang perempuan. MAKSAK Malaysia telah meletakkan syarat bahawa peserta yang ingin menyertai program tertsebut mestilah daripada kalangan mereka yang belum pernah menyertai mana-mana aktiviti sukan air. Pening juga kepala nak cari orang sebab banyak jabatan tak beri pelepasan pada anggota yang ingin menyertai. Akhirnya saya sendiri terpaksa menjadi peserta. Asalnya kena jadi urusetia tapi dah diarahkan jadi peserta, apa lagi seronok bukan main lah saya.

Setelah membuat semua persiapan, peserta dari PDRM bertolak menuju ke Pasir Salak pada jam 8.00 pagi dari pintu A Bukit Aman. Lebih kurang jam 9.30 pagi kami berhenti di hentian Rawang untuk sarapan pagi. Tengah sedap makan dan berbual-bual dengan kawan-kawan tiba-tiba ada orang tegur saya, “ Hai.. Lana pa khabar...hang nak pi mana”. Bila saya toleh, rupanya kawan sekampung. “Laa... hang ka.. Pak Ijai...Aku nak pi program berakit kat sungai perak”. Kawan saya tu nama dia Faizal tapi kami pangil Pak Ijai. Saya pun tanya dia nak ke mana. Rupanya dia pun terlibat sama dengan program berakit ni dan dia mewakili Jabatan Penjara Malaysia. Sebenarnya memang dah lama saya tak jumpa dengan dia, lebih kurang 10 tahun. Apa lagi berbual rancak la..saya dengan dia.

Lebih kurang jam 10.30 kami pun sambung perjalanan semula. Dipendekkan cerita kami sampai di JPS Kuala Kangsar lebih kurang jam 2.30 petang dan semua peserta sebok mendaftar penyertaan. Selesai pendaftaran peserta PDRM mengambil kesempatan untuk menjengah pekan Kuala Kangsar. Lebih kurang jam 4.30 petang sesi taklimat program diadakan bersama urusetia. Jam 5.30 petang semua peserta diwajibkan untuk menjalani sesi keyakinan diri di dalam air.

Apabila melihat arus sungai yang deras dan luas memang mengerunkan hati. Kecut rasa hari nak turun. Walaubagaimanapun setelah diberi penerangan dan tunjuk ajar daripada pakar-pakar keyakinan datang le sikit-siky. Nak dijadikan cerita, rupanya kawan sepejabat saya pun takut jugak. Tapi takut dia melebihi saya. Akhirnya kami telah dilepaskan terapung dalam air dengan jeket keselamatan yang dipakai. Jarak apungan untuk dibawa arus lebih kurang 100 meter. Mula-mula masa nak turun air masih lagi paras pinggang, bila dah 3 meter ke tengah tiba-tiba kaki dah tak jejak dasar, cemas jugak seketika... tapi semuanya berjalan lancar dan selamat. Acara keyakinan diri dalam air tamat jam 7.00 petang.

Selesai solat maghrib jamuan makan malam diadakan bersama dengan Pegawai Daerah Kuala Kangsar di PR JPS Kuala Kangsar. Kami dijamu dengan makanan ala kampong , antaranya ialah ikan lomor yang dimasak selama satu hari dengan daun kayu. Apabila dimakan, ikan ni boleh dimakan semua termasuk tulang-tulang sekali. Selesai aktiviti hari pertama dan besok pagi jam 8.30 akan bermula acara berakit.

Hari kedua

Selepas sarapan, lebih kurang jam 8.30 pagi semua peserta turun ke gigi air untuk memulakan aktiviti berakit dan berkayak. Pada hari pertama ni kami akan berakit dan berkayak sejauh 46 km dan dijangka memakan masa selama 11 jam. Jangka masa ini dianggarkan kerana ini merupakan pengalaman pertama kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Apabila diarahkan peserta mengambil tempat ,semua peserta serbu kat rakit sebab semua orang takut nak berkayak risau kayak terbalik. Disebabkan rakit dah tak cukup saya dengan kawan sepejabat terpaksa naik kayak. Sebenarnya seumur hidup saya belum pernah naik kaya. Takut bukan main kami berdua. Nak tak nak terpaksalah mengesot-ngesot kat gigi air nak masuk dalam kayak. Bila dah kayak stabil barulah kami mula nak kayuh. Saya duduk di belakang dan member kat depan. Kami dua-dua tak pernah naik kayak. “Mampus kita Ezal” bisik saya pada member kat depan. “Sabar abang Lan, kita kayuh pelan-pelan” jawab member saya kat depan. Setengah jam pertama memang memeritkan, dua-dua badan keras tak gerak-gerak takut kayak terbalik. Lama kelamaan barulah kami dapat kawal kayak dengan baik.

Masuk jam yang kedua kami dah makin berani dan dah mula gerakkan kaki yang dah lama lurus tegak kat dalam kayak. Lebih kurang jam 10.30 bot peninjau datang hampir dengan kayak kami. Kami jadi cemas sebab olak air dari bot tersebut buat kayak bergoyang macam nak terbalik. Rupanya bekalan makanan nak di beri pada kami. Saya pun ambil kesempatan tanya pada pakar yang ada dalam bot macam mana nak kawal kayak bila kena ombak sebab kami takut jatuh. Kami diajar supaya mengarahkan kayak agar menukah arah ombak dan jangan biar selari dengan ombak.

Lebih kurang jam 1.30 tengahari bekalan makanan dan minum pun sampai. Kami makan di atas kayak dan selesai makan kami berhanyut mengikut arus. Lebih kurang jam 2.00 petang kami mula berkayuh semula. Kami dah berada atas kayak hampi 6 jam, satu badan rasa sakit, penat dan perasaan makin tertekan. Cuaca yang panas terik turut menyumbang kepayahan dan kegetiran yang kami tempuhi. Selepas 2 jam berkayuh tiba-tiba kayak kami seperti terseret dengan pasir, rupa-rupanya kami dah terlanggar beting sungai. Kemudian kayak lansung tak bergerak dan tak boleh dikayuh. Kami pun turun dari kayak, dan dapatlah berdiri tegak dan berendam dalam air. Oh... terasa lega sangat dapat keluar dari kayak dan berehat sekejap. Kawan-kawan dari kayak dan rakit lain pun turut sama berhenti. Selepas 20 minit berehat kami semua pun memulakan kayuhan semula...........

Saturday, July 10, 2010

Kali pertama berblogger.
Selamat datang kepada semua insan-insan yang sudi menjengah ke laman hamba yang baru segar dibina beberapa minggu yang lalu. Sudi-sudikanlah untuk berehat dan bersantai seketika melayari coretan-coretan hamba yang tidak seberapa. Sebagai pendatang baru dalam dunia blogger, coretan dan bingkisan hamba masih lagi seperti putik yang baru hadir dari kembangnya bunga. Dalam usia muda sebegini, hamba masih memerlukan banyak tunjuk ajar dan bimbingan. Kepada tetamu yang hadir, sudikanlah meninggalkan secolek coretan yang bakal hamba jadikan sebagi panduan dan pedoman dalam menyusuri garis-garis halus untuk meniti kematangan. Sesungguhnya usaha untuk menjadi insan yang matang acapkali akan disulami dengan pelbagai ranjau dan duri.